Friday, March 2, 2012

Wasathiyyah dalam Gaya Hidup

***KESIMPULAN tentang Wasathiyyah dalam Gaya Hidup yang di ambil dari buku MANHAJ FIQAH WASATHIY - Kertas Kerja Konvensyen Fiqh Ummah 2012 yang diadakan pada 18-19Februari 2012 di PWTC.

Hasil daripada perbincangan berhubung wasathiyyah dalam kehidupan yang sempurna, dapatlah disimpulkan beberapa perkara penting sebagai garis panduan dalam menjalani kehidupan yang bersifat kesederhanaan atau dengan erti kata lain wasathiyyah dalam gaya hidup. Ia adalah seperti berikut:

i. Islam merupakan agama yang membentuk generasi yang bersifat kesederhanaan. Ini bermaksud umat Islam dilarang untuk melakukan sesuatu yang luar daripada kemampuan mereka. Selain itu, mereka juga dilarang daripada keterlaluan dalam menikmati kenikmatan dunia yang pasti hanya bersifat sementara. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa mengamalkan konsep wasathiyyah dalam kehidupan. Jika ia dapat dilakukan dengan baik, umat Islam tidak akan kelihatan terlalu mundur dan tidak pula dilihat sebagai golongan yang keterlaluan dalam menongkah arus kemodenan.

ii. Sikap kesederhanaan merupakan sunah nabi SAW dan para sahabat r.hum. Namun, jangan pula ada kalangan umat Islam yang cuba mengeksploitasikan kesederhanaan Baginda itu sehingga menampakkan Islam itu agama yang kolot yang tidak bertamadun. Maka dengan itu, memahami nas dan sunah Nabi juga perlu dilakukan dengan berhemah dan sederhana. Tidak terlalu ekstrem atau tidak terlalu mengendahkannya. Biarlah ia dalam bentuk pertengahan.

iii. Anggaplah Islam ini satu agama yang sederhana dan sempurna. Tidak terlalu menyusahkan dan tidak pula terlalu mudah sehingga boleh diperkotak-katikkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

iv. Sesiapa sahaja yang beranggapan bahawa Islam adalah agama yang hanya perlu menumpukan kepada ibadah solat dan zikir di tikar sembahyang semata. Atau dengan kata lain umat Islam harus miskin, fakir, selekeh, kotor, tidak bergaya, busuk dan sebagainya, sesungguhnya pandangan seperti itu sangat tersasar jauh daripada kebenaran.

v. Oleh sebab itu, Islam tidak pernah melarang umatnya daripada berkahwin, bermewah-mewah dengan pakaian atau aksesori yang berjenama, bercantik-cantik dengan alatan-alatan tertentu, kelihatan bergaya, kemas, kaya-raya dan menikmati kenikmatan yang dianugerahkan Allah kepada manusia di muka bumi ini. Anggaplah kesemua nikmat dunia yang wujud ini merupakan jambatan untuk menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Sekiranya kita pandai mengagih-agihkan nikmat itu ke jalan yang betul, maka beruntunglah kita di Akhirat kelak. Jika sebaliknya yang berlaku, maka tunggulah azab Allah yang amat pedih dan menakutkan. Inilah yang dinamakan wasathiyyah dalam kehidupan.


No comments: